Sunday, January 16, 2011

Menghias Bilik Si Kecil Kesayangan Anda

Mulakan dengan pilihan cat kerana ia adalah cara termurah dan senang untuk mengubah suasana bilik. Untuk bilik bermain anak, anda disarankan menggunakan cat warna terang yang menjadi kegemaran anak. Antara warna patut difikirkan ialah tona asas biru, kuning dan merah. Bagi keluarga memiliki anak perempuan, merah jambu dan ungu adalah pilihan terbaik manakala yang memiliki anak lelaki dan perempuan, warna hijau adalah pilihan selamat serta sesuai buat keduanya.

Hiasan dinding juga termasuk sebahagian ilham penataan. Anda boleh menghiasnya dengan gantungan himpunan bingkai gambar berlatar belakang seni lukisan menarik. Sebagai langkah permulaan, potong gambar kalendar menarik serta ceria untuk dibingkai. Anda juga boleh mewujudkan suatu jalan cerita di dinding dengan mempamerkan guntingan lukisan daripada buku cerita kegemaran anak anda seperti kisah Puteri Salji, Hensel & Gretel, kartun Shrek dan sebagainya.

Inisiatif menggantung karya lukisan anak di dinding memberi isyarat anda menghargai bakat seni mereka. Beli papan kenyataan besar untuk diletak di dinding dan lekat lukisan mereka di situ dengan paku tekan berbilang warna. Agar tidak jemu selain memberi suasana baru, lukisan di dinding boleh ditukar selang sebulan.

Langkah seterusnya, menyediakan banyak ruang penyimpanan. Bakul menyimpan mainan adalah cara termudah memastikan bilik kekal kemas dan sistematik. Bakul berkenaan dijual dalam pelbagai bentuk dan warna namun supaya senang dikenal pasti, sebaiknya setiap bakul dilabel dengan nombor dan nama objek.
Jika ada lebih peruntukan, bina rak siap dipasang untuk penyimpanan sistematik, kemas dan selamat. Selamat Mencobaa......


Madeyloco.

No comments:

Post a Comment